Thursday 9 April 2020

Meriam Lela Che Long Jaafar

Transliterasi inskripsi Lela Che Long Jaafar:

‘Inilah
Lela Che Long Jaafar.
Beratnya enam pikul lima
puluh kati, harganya lima kupang pada
sekati sanah 
1272.’

Lela atau meriam ini dipercayai kepunyaan Che Long Jaafar (Che Long Jaafar bin Tok Paduka Setia Long Abdul Latif bin Tok Paduka Setia Pandak Jamaluddin bin Tok Narah Kembal bin Tok Kasah bin Nyak Besating)* berdasarkan inskripsi Jawi yang tertera nama beliau. Meriam ini diperbuat daripada besi mampat melalui proses tuangan (cast) dan dipercayai berasal dari negeri Pattani Darussalam.

Lela ini biasanya ditempatkan pada sudut kubu atau pada bahagian dinding kubu yang berperanan melengkapkan benteng pertahanan dan perlindungan daripada serangan musuh. Panjang lela ini berukuran 213.5 sentimeter manakala beratnya pula sebanyak 390 kilogram iaitu bersamaan  kira-kira 6 pikul 50 kati mengikut ukuran berat pada zaman dahulu.

Lela ini dipercayai mempunyai kekuatan sasaran membedil sehingga mencapai jarak kurang lebih 400 meter dan lela ini juga dibeli pada sanah 1262 Hijriah bersamaan 1841 bernilai $325.00 ringgit.

*Dalam riwayat yang lain, salasilah Che Long Jaafar, ayahanda kepada Orang Kaya Tengku Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim adalah seperti berikut:

Che Long Jaafar bin Long Abdul Latif bin Pandak Jamaluddin bin Tok Kerak Alam bin Tok Paduka bin Tok Johan Pahlawan bin Tun Belunak bin Tun Saban Balik bin Tun Perak.

SUMBER

Khoo Kay Kim. (Jun 1991). ‘Taiping (Larut): The Early History of a Mining Settlement.’ Dalam Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. Jil. LXIV. Bah. 1. Kuala Lumpur: MBRAS., hlm. 2-3.

Lela Che Long Jaafar – Koleksi Muzim Perak, Taiping, Perak Darul Ridzuan.

No comments:

Post a Comment