Sunday 8 January 2017

Buku 3: Bachaan Dewan- Dewan Bahasa Dan Pustaka Persekutuan Tanah Melayu 1962



MAHMUD BIN AHMAD atau Mahmud Ahmad merupakan seorang pendidik, tokoh bahasa dan budaya Melayu dan juga seorang sasterawan. Dilahirkan pada 29 Mac 1906 di Kampung Kallang, Singapura. Beliau berasal dari Riau tetapi kelahiran beliau didaftarkan di Kampung Kallang Pokok. Beliau mula mengarang semenjak tahun 1929. Banyak buku yang telah dihasilkannya bercorak pelajaran, bacaan sekolah yang berunsur moral dalam bentuk novel, sajak, rencana-rencana dan esei-esei sastera. Beliau meninggal dunia pada 26 Ogos 1976.

Mahmud Ahmad memperolehi pendidikan awal di peringkat sekolah rendah di Sekolah Melayu Tanjong Katong dan seterusnya menyambung pelajarannya hingga ke darjah enam pada tahun 1922 di Sekolah Melayu Kampung Glam. Setelah tamat darjah enam, beliau tinggal di Kampung Tebrau Bakar Batu, Pasir Pelangi, Johor Bahru selama dua tahun kemudian balik ke Singapura dan kemudiannya menjadi guru pelatih pada tahun 1925 sebelum menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak (1926-1929). Setelah keluar dari Maktab Perguruan Sultan Idris, Mahmud Ahmad  mengajar di Sekolah Melayu Tanglin Besar. Semasa pendudukan Jepun, beliau ke Sumatera dan mengajar di Sekolah Melayu Tanjung Pinang. Setelah Jepun menyerah kalah, Mahmud Ahmad kembali ke Singapura, mengajar di pelbagai tempat seperti di Telok Kurau, Padang Terbakar dan Sepoy Lane dari tahun 1945 – 1957. Beliau turut menjadi pensyarah sambilan di Universiti Malaya (Singapura) bagi kuliah Bahasa Melayu (1954-1955).

Mahmud Ahmad pernah bekerja sebagai pengarang majalah Benih atas nama Jabatan Pelajaran Singapura. Pada tahun 1948, beliau dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Padang Terbakar.  Pada tahun 1949, beliau menjadi guru penolong di Sekolah Melayu Telok Saga, Pulau Brani. Mahmud Ahmad bersara pada tahun 1957. Selepas bersara, beliau berkhidmat di Royal Press Singapura sebagai pengarang; berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (1960-1963) sebagai pengarang buku-buku sekolah; menjadi guru bahasa di Kolej Ngee Ann di Singapura (1963 -1965); pengarang di Malaysia Press, Singapura; menjadi pengarang buku-buku sekolah dan juga pengarang majalah dua bulanan Medan Sastera di bawah pimpinan Harun Aminurrashid. Beliau bergiat dalam dunia persuratan sejak tahun 1940-an. Beliau pernah mengelolakan majalah Temasik sebelum memimpin majalah Hiboran dan menyumbang kajian melalui buku-buku kajian beliau iaitu Imbuhan Sastera dan Pancaran Sajak.

Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Jawatankuasa Pengamanah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud; Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan Melayu; Penasihat Jawatankuasa Penerangan Pertubuhan Kebangsaan Melayu; Jawatankuasa Bersama Hadiah Sastera dan Jawatankuasa Khairat Kematian Orang-Orang Islam Telok Kurau; Setiausaha Persaudaraan Sahabat Pena PSPM, cawangan Singapura (1935-1941); Setiausaha Lembaga Bahasa Melayu dan anggota Jawatankuasa Ejaan Rumi Baru; menubuhkan Lembaga Bahasa Melayu (26 April 1951); dilantik Setiausaha Lembaga Bahasa Melayu yang pertama; anggota ASAS 50; aktif dalam Majlis Pelajaran Melayu, Lembaga Tetap Kongres dan dalam beberapa Kongres bahasa dan kebudayaan yang dianjurkan di Singapura, Malaysia dan Indonesia; Setiausaha pasukan pengakap Melayu Singapura; memberi sumbangan tenaga dan fikiran dalam Kongres Bahasa Melayu 1 di Singapura (1951), Kongres Bahasa Melayu 2 (1952), Kongres Bahasa Indonesia di Medan (1954), dan Kongres Bahasa dan Persatuan Melayu 3 yang terbesar dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu di Singapura dan Malaya.


No comments:

Post a Comment